Friday, 23 September 2016

Prinsip-prinsip yang berkesan dalam berkomunikasi.

Komunikasi yang berkesan dapat mempengaruhi orang lain di samping mendapat keredhaan Allah S.W.T. Berikut adalah prinsip berkesan dalam komunikasi:

 i. Kefahaman 
Cara kita berkomunikasi dikatakan berkesan apabila orang memahami apa yang kita maksudkan. Kalau lain yang dimaksudkan, lain pula yang difahami, bererti komunikasi itu tidak berkesan.

ii. Keseronokan
Kadang-kadang komunikasi kita dengan orang lain berlaku kerana kita ingin mencapai keseronokan. Kita merasa gembira apabila berbual dengan seseorang. Orang lain pula merasa gembira dengan kita. Ini menimbulkan keseronokan antara kita dengan orang lain.

iii. Pengaruh ke atas sikap
Antara fungsi komunikasi adalah mempengaruhi sikap, nilai dan kepercayaan orang lain. Kita akan cuba mengubah sikap negatif orang lain. Sekiranya kita seorang pendakwah, kita akan cuba mengubah sikap orang yang kita dakwah. Kita mengharapkan sikap mereka berubah mengikut ajaran Islam. Begitu juga dalam mesyuarat, perbincangan, perundingan, kaunseling dan lain-lain. 

iv. Memperbaiki perhubungan 
Komunikasi juga berfungsi membaiki hubungan antara individu. Kesilapan kita ialah apabila tidak memahami mesej yang hendak disampaikan oleh orang lain. Akibatnya, muncullah berbagai-bagai kesilapan. Akan berlakulah pertengkaran, salah faham, tuduh menuduh, gangguan emosi dan lain-lain. 

v. Wujudnya tindakan susulan 
Komunikasi berkesan boleh melahirkan tindakan susulan selepas itu. Seorang jurujual akan berjaya apabila orang mula membeli apa yang dijualnya. Seorang guru matematik berjaya dalam komunikasinya apabila murid memahami apa yang diajarnya.

vi. Komunikasi mata 
Kemahiran menggunakan mata adalah sangat penting dalam komunikasi. Kita menggunakan mata untuk mendapat gambaran melalui penglihatan. Kita akan menilai melalui “first impression”. Penilaian ini akan disampaikan melalui perasaan yang disalurkan bersama pandangan. Komunikasi berkesan memerlukan anda memandang kepada pasangan anda berbicara selama 5 saat. Sikap ini memberi gambaran komitmen anda dalam menjalinkan hubungan. 

vii. Kedudukan tubuh dan pergerakan
Cara anda berdiri membayangkan diri anda sendiri. Bagi menambahkan keyakinan diri, anda perlu berdiri dalam keadaan positif, bersedia dan bertenaga. Anda hendaklah berdiri tegak dan tidak membongkok. Anda juga hendaklah mengadap ke hadapan orang yang anda bercakap. Pergerakan anda juga adalah natural dan tidak kaku.  

viii. Mimik muka dan air muka 
Mimik muka dan air muka sangat penting dalam proses komunikasi. Ia sebenarnya menggambarkan perasaan anda. Dalam hubungan interpersonal, senyuman anda adalah amat penting. Sama ada untuk mendekati seseorang atau anda didekati. Anda haruslah pandai menggunakan masa bila anda harus tersenyum. Senyuman akan membuatkan orang di sekitar anda merasa rapat dan mudah mesra dengan anda. 

ix. Keterampilan 
Keterampilan menentukan persepsi orang lain terhadap kita pada awal pertemuan. Keterampilan biasa dilihat pada pakaian kita. Kita hendaklah memilih pakaian yang sesuai pada setiap majlis yang kita hadiri. Pakaian anda menggambarkan keperibadian anda secara tidak langsung. Persepsi awal memainkan peranan penting dalam menentukan perhubungan yang selanjutnya. Ia adalah penghubung kepada sebuah perhubungan yang lebih baik atau lebih buruk. 

x. Suara 
Suara kita adalah aset penting dalam komunikasi. Ia boleh jadi menyebabkan orang lain terus minat pada kita atau terbantut. Suara kita menggambarkan kesungguhan, kesedihan, kegembiraan, kemarahan dan sebagainya. Anda boleh mengawal nada, sebutan dan lenggok suara. Anda hendaklah membuat sebutan dengan jelas, yakin dan menggunakan kepelbagaian nada suara dengan baik dan bijak. Suara yang bertenaga, lontaran suara dan vokal yang jelas dan nada yang penuh perasaan adalah asas suara yang baik. Ini juga menjadi asas kepada kepercayaan orang lain kepada kita. 

xi. Libatkan pendengar
Usah biarkan diri anda bercakap terus-terusan, menceritakan tentang diri anda tanpa mendengar pandangan orang lain. Anda hendaklah menunjukkan minat mendengar pandangan orang lain. 

xii. Menghiburkan 
Perbualan yang menghiburkan lebih diminati. Antara cara untuk menghiburkan ialah bercerita peristiwa lucu, pengalaman lucu, gurau senda dan usik mengusik. 

xiii. Mengenalpasti keistimewaan orang lain 
Sebelum anda melihat keistimewaan orang lain, terlebih dahulu kenali dan minat pada orang itu dahulu. Sekali sekala, susuli perbualan dengan memuji kebaikan dan keistimewaan yang ada pada kawan anda. 

xiv. Membawa topik perbualan yang anda mahir
Cara ini akan menambahkan keyakinan dan kepercayaan sahabat kepada anda. Berhati-hati dan jangan gembira sendiri dengan pengetahuan anda. Selang seli dengan pandangan orang lain. Hormati juga pandangan orang lain kepada anda. 

No comments:

Post a Comment